Wednesday, September 9, 2009

Autobiografi Bahrum B. Basar


Harga Edisi Eksklusif 1000 Naskah Kulit Keras = RM42.00
Berada di pasaran mulai Oktober 2009


Sinopsis

Sumpah tetap sumpah dan rahsia kekal rahsia! Mungkin hanya hayat menjadi penyebab sumpah terlekang dan rahsia terbuka. Namun untuk menceritakannya, pasti sukar dan payah demi menjaga nama dan maruah rakan dan musuh. Mentaati sumpah dan amanah dalam menyimpan rahsia ialah satu disiplin dan mengambil kira pengorbanan yang tinggi. Demi agama, bangsa dan negara, Fenomena: Gedung Cinta Kunci Setia digarap agar sumpah tidak ternoda dan rahsia tidak terbongkar. Nama dan maruah tetap terjaga rapi. Perjuangan dan wawasan pejuang yang dikatakan ‘radikal dan berhaluan kiri’ dahulu perlu diceritakan untuk membaiki atau membetulkan persepsi, malah mungkin meluruskan sejarah yang dibengkokkan oleh golongan oportunis.

Autobiografi Bahrum B. Basar bakal melakar garis akal pembentukan jiwa yang dahulunya mungkin meronta-ronta kepada ‘ketelusan’. Buku ini dapat memberikan sudut pandang daripada golongan ‘radikal’ dan ‘berhaluan kiri’ untuk pengetahuan umum. Persoalannya, “Mengapa sekarang?”. Mungkin kerana, selama ini kita hanya diminta untuk mendengar ‘kisah-kisah indah’ walaupun hakikatnya lama-kelamaan membawa padah dalam membina jati diri bangsa.

Diharapkan segala pengalaman dan kisah hidup yang dilalui oleh penulis, dapat memberikan persepsi baharu dan menyemak kembali bahan rujukan yang telah di‘atur’ itu. Perkara yang lebih utama cuba diketengahkan melalui buku ini ialah keperluan untuk membuat anjakan sikap terhadap pengertian NILAI BANGSA.
- Penerbit -

“Dari mula beliau terlibat dengan politik sehingga ke hari ini memang perjuangannya hanya untuk Melayu. Orang Melayu mesti bebas. Tanah Melayu untuk Melayu. Bahasa Melayu bahasa kebangsaan dan ekonomi orang Melayu. Maka itu beliau selalu merasakan perjuangannya tidak kena untuk didedahkan dalam keadaan politik pelbagai bangsa pada zaman ini. Tetapi saya berasa kagum, kerana pada usia 88 tahun akhirnya beliau sanggup menceritakan kisah perjuangannya di samping menjelaskan beberapa kisah misteri dalam episod penting perjalanan politik Melayu. Saya percaya pendedahan ini dapat memberikan pengajaran dan iktibar kepada orang Melayu hari ini, khususnya generasi muda. Saya mengharapkan, lebih banyak lagi kisah misteri yang masih disimpan itu akan didedahkan kepada seluruh rakyat Malaysia suatu hari nanti.”
- Tan Sri Prof. Emeritus Dato' (Dr) Pendeta Haji Ismail Hussein -

No comments:

Post a Comment